Wednesday 12 June 2013

2nd Gathering with Malaysian Flutist

Assalamualaikum

2nd Gathering with Malaysian Flutist

          Sudah sekian lama rasanya jari jemari ini tidak menaip tentang perjalanan seniku. Al maklumlah, sejak bergelar orang bekerjaya, terkadang masa tidak menentu. Sibuk je memanjang. Sampaikan outstation pun berminggu. Kadang-kadang umpama tiada kehidupan yang menyeronokkan pula bila sudah bekerjaya. Namun, perjalanan seniku tetap jua berjalan seperti biasa.


          Baru-baru ini, tanggal 08 Jun 2013 bersamaan dengan hari sabtu, aku telah meyempatkan diri untuk menyertai program yang dianjurkan oleh kelab di Facebook yang aku telah daftarkan diri sebagai ahli iaitu Kelab Seruling Malaysia. Program yang dinamakan Lepak santai@Port Dickson berjalan di sebelah siangnya dan Program Lawatan ke Bengkel seruling Pendekar Bambu, (yakni pembuat seruling terkenal (Abg Arul) serta diiktiraf oleh pemain seruling terkenal tanah air, Abg Mohar (MOHRAM)) pada sebelah malamnya. Aku bersama motor honda kesayangan bertolak ke Port Dickson sebaik matahari terpacak tegak di atas ubun-ubunku dan sampai sejam kemudian. Sesampai di sana, kelihatan sekumpulan remaja lelaki serta perempuan sedang memegang serta meniup seruling. Maka tahulah aku itu rakan-rakan ku yang telah sampai. Program kali ini mengumpulkan pemain seruling dari seluruh Malaysia. Ada yang datang dari Kedah, ada yang datang dari Perak, dari Johor, Shah Alam, Klang, Subang, malah ada yang datang dari Sarawak juga turut sama memeriahkan serta turut serta pada program kali ini. Selepas memastikan keselamatan motor hondaku di kunci dengan rapi, aku lalu mendapatkan rakan-rakan ku yang sedang leka menghapus kebosanan menunggu dengan tiupan seruling masing-masing. Aku menyapa mereka, bersalaman sambil mempelawa mereka untuk menjamu selera dengan seikat pisang yang ku bawa bersama untuk dinikmati bersama mereka-satu cara untuk aku lebih senang rapat dengan mereka dan mereka selesa denganku.

          Kami sekumpulan kemudiannya berkumpul di sebuah pondok dan melepaskan lelah masing-masing. Maklumlah mereka datang dari jauh. Sambil menikmati pisang yang aku bawa, kami sama-sama bertukar ilmu, teknik, pengalaman masing-masing. Syamil, pemain seruling yang sememangnya hebat yang datang dari Rawang, Selangor, leka mengalunkan irama indah mengusik kalbu berentak keroncong (yang aku sendiri serta rakan lain belum dapat memahirkan diri dengan genre tersebut) sambil memikmati dua ketul roti hotdog dengan selambanya. Hehe. (Aku suka mengusiknya lantaran dirinya yang sungguh baik, tidak sombong, dan suka berjenaka serta amat mesra dengan semua orang). Tidak kurang juga dengan Amri, melayan jiwa dengan tiupan seruling yang ditemani petikan indah gitar berjenama Yamaha yang dimainkan oleh Safwan, salah sorang pemain seruling yang tidak kurang hebatnya, yang datang dari Selangor. Seusai solat Zuhur, kami mencari tempat untuk menamatkan riwayat lapar yang sudah lama bersarang dalam perut kami sejak dari tadi lagi. Itu pun tadi perut mereka hanya dialas dengan pisang yang aku bawa.


          Setelah kami makan tengah hari, kami berkumpul di satu tempat di tepi pantai untuk menyambung aktiviti kami. Kali ini kami mem'busking' beramai-ramai di tepi pantai tersebut sehinggalah petang menjelma lalu kami bergerak menuju pula ke detinasi seterusnya iaitu Seremban untuk aktiviti melawat bengkel seruling pendekar bambu pada sebelah malamnya. Setelah hampir sejam meredah hujan nan lebat, kami singgah di Medan Selera yang terletak berhadapan dengan Giant Ampangan, Seremban. Menanti di situ beberapa peniup seruling yang datang dari Terengganu, yang tidak sempat sampai ke Port Dickson. Kami yang baru sampai ini terus ke surau berdekatan yang terletak di Apartman UDA, Ampangan untuk solat asar kemudian kembali bersama dengan pemain seruling dari Terengganu. Kami menunggu di situ kerana menunggu tetamu istimewa kami, iaitu penasihat kumpulan kami iaitu Abg Mohar MOHRAM tiba sebelum kami sama-sama berangkat ke bengkel seruling pendekar bambu. Setelah beliau sampai, kami bersolat Maghrib dan terus menuju ke bengkel pendekar bambu yang terletak di Sikamat, Seremban, yang mana lokasinya terletak di sebuah kawasan perumahan yang bertentangan dengan Maktab Perguruan Raja Melewar. Kami berkonvoi bersama hampir sepuluh buah kereta dan sebuah motorsikal (aku la tu) dan sampai ke destinasi tersebut tidak sampai setengah jam. Kami disambut dengan meriah oleh keluarga pendekar bambu. Siap di sajikan dengan pelbagai jenis makanan serta minuman. Pandangan aku serta merta beralih ke arah Syamil. Hehe. (Pantang ada peluang kami pasti saling sakat menyakat. Maka dari situ, terbitlah ikatan ukhwuah yang kuat antara kami.)


          Majlis pada malam itu dimulakan dengan ucapan dari tetamu istimewa Abg Mohar, diserikan lagi dengan beberapa demonstrasi cara permainan flute daripada beliau. Aku terkesima melihat cara permainan flute nya yang sungguh mengagunkan. Selalu dengar dari televisyen atau paling tidak dari corong-corog radio. Tetapi kali ini live di depan mata aku sendiri. (walaupun ini bukan kali pertama beliau live di depan mata aku, permainan flute nya tetap mencetuskan rasa keterujaan untuk aku terus menghayatinya). Program tersebut diserikan lagi dengan perasmian secara rasminya Bengkel Seruling Pendekar Bambu oleh seluruh warga seruling yang datang pada malam itu termasuk diriku dengan menurunkan tanda tangan di atas papan tanda sebagai simbolik perasmian bengkel tersebut. Kemudian disambung dengan aktiviti menonjolkan bakat masing-masing dengan mempersembahkan aluman seruling dihadapan Abg Mohar. Peserta akan dipilih sendiri oleh Abg Mohar untuk mempersembahkan persembahan. Tiba-tiba secara tidak semena-mena nama aku disebut-sebut. Lalu beliau memandang ke arah ku dan mempelawa aku untuk mempersembahkan tiupan seruling. Masa itu jantung aku kencang berdengup umpama baru lepas berlari lompat pagar 700m berganti-ganti. Haha. Aku teramat segan ketika itu sehingga hilang tingkah. Lalu aku menolak pelawaan tersebut dengan baik memandangkan ada lagi di kalangan rakan-rakan aku di situ yang lebih hebat dalam permainan seruling.


          Acara tersebut berakhir dengan jamuan ringan (yang sebenarnya tidak berapa ringan) yang disediakan oleh keluarga Pendekar Bambu. Terdapat pelbagai jenis makanan disediakan termasuklah bingka ubi, kuih lapis pelbagai warna, bihun goreng, tembikai, nasi minyak (kalau tidak silap la. Haha), ayam masak merah, tea panas, jus oren dan macam-macam lagi. Masa itulah kesempatan aku gunakan untuk menyakat Syamil. Hehe. Kami semua menjamu selera dengan puas sekali buat sekian kalinya. Sambil makan, kami selangi dengan aktiviti berkongsi idea serta berbincang bahkan ada juga yang sempat membeli dan menempah seruling dari Pendekar Bambu dan Abg Norhasim dari Terengganu yang juga seorang pembuat flute yang hebat dan turut diiktiraf kualiti pembuatannya oleh Abg Mohar. Aku sempat membeli sebatang flute dari Abg Norhasim ber 'key' D#. Aku dapat rasakan sendiri betapa kualiti pembuatanya sungguh tinggi bahkan tidak keterlaluan jika aku katakan ianya mampu mengalahkan seruling buluh buatan cina yang dijual di kedai biasa. (Siapa ingin rasakan keunikan serta kehebatan kualiti flute buatan mereka, boleh hubungi melalui FB mereka-Pendekar Bambu dan Mohd Norhasim Nor). Program pada malam itu tamat kira-kira jam 11.30 malam sebaik sahaja Abg Mohar mengundurkan diri untuk pulang. Aku dan rakan-rakan tetap berada di sana sehinggalah pukul 3 pagi lalu kami pulang dengan sebuah pengalaman yang cukup berharga pada hari tersebut. :)



Testing bersama bro Aiman


                                             
Cenderahati dari Pendekar Bambu





Bergambar sebelum pulang


                   








2 comments:

  1. wow.... seruling tu.... tentu seronok bengkel ni..

    ReplyDelete
  2. thumb upp sye baru lahi berjinak2 dengan seruling... :)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...