Sunday 26 May 2013

Kerja lapangan audit yang amat menyeronokkan!

       Menelusuri celahan warisan tapak bersejarah yang diiktiraf badan antarabangsa UNESCO, Melaka. Aku berdiri menikmati segala yang ada di sini bukan sebagai pelancong, bukan sebagai pengunjung tetapi sebagai seorang auditor. Baru aku rasa betapa untung memegang gelaran sebagai seorang auditor. Pelik kan? Orang lain selalu beranggapan kerjaya sebagai auditor ni sangat presure, selalu balik lambat. Yes it is. Tp bila dapat buat audit luar tempat klien, semestinya menjanjikan keseronokan yang mengujakan. Kebetulan aku ditugaskan untuk menjalankan audit di Perbadanan Muzium Melaka. So semestinya aku dimestikan melawat muzium-muzium yang dikendalikan oleh perbadanan tersebut. So pendek kata sambil aku berkerja aku menikmatilah pengalaman masuk ke muzium-muzium tersebut. Sambil menyelam minum air. Dua hari masa di ambil utk selesaikan misi 'menyelam sambil minum air' ini.

       Hari pertama aku membuat tinjauan bermula dari muzium demokrasi, yg menyingkap sejarah demokrasi negara, disusuli dengan muzium TLDM, Galeri Golf serta Balai Seni Lukis Melaka. Yang menarik di Galeri Golf, yang terletak di Bandar Kaba, petugas di sana memberi aku peluang untuk 'bermain golf secara maya' menggunakan PS3. Jujurnya aku agak kekok sebab aku ni bukannya gamer pun. Saat bola yang aku pukul melantun dan tersangkut atas pokok, petugas tersebut beserta pegawai akaun yang turut mengiringi aku di situ galak menghamburkan katawa. Aku tersipu malu. Di Balai Seni Lukis Melaka pula aku disajikan dengan lukisan-lukisan yang bernilai ribuan ringgit. Ada satu lukisan yang bagi pendapatku hanya contengan budak tadika sahaja tapi harga tulisan tersebut, MasyaAllah, puluhan ribu! Wow! Ini kalau aku bawa balik dan jual confirm tak perlu nak susah payah kerja. Haha. Mungkin ianya sebuah hasil seni yang amat tinggi sampai aku sendiri tidak mampu menilai nilainya. Perjalanan untuk hari ini berakhir di Muzium Sejarah di mana aku dikehendaki memeriksa artifak sejarah yang juga amat bernilai harganya. Dengan langkah keselamatan yang amat ketat lalu aku akhirnya selesai menjalankan pemerhatian aku di Muzium Sejarah.
     
        Pada hari kedua, tugasan aku membawa aku ke muzium yang agak terpencil iaitu Muzium Pengangkutan, terletak di AutoCity berhampiran dengan MITC serta bersebelahan dengan pusat pameran kereta Proton. Di sana aku dibawa melawat melihat koleksi kenderaan seperti basikal pos zaman Jepun, kereta antik, motor antik, bahkan kereta lembu turut tidak ketinggalan dipamerkan di sini. Aku tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan urusanku di muzium tersebut lalu rombongan kami bergerak ke muzium seterusnya iaitu muzium yang paling jauh dari kompleks muzium yang aku lawati semalam. Muzium Penghulu Demang Ghani yang terletak di Merlimau, ibarat mengimbau kembali kehidupan seorang pemimpin yang disegani oleh penduduk tempatan pada ketika itu. Dengan reka bentuk rumah asalnya yang menggambarkan kekayaan penghulu tersebut, lambang kemakmuran rakyat tempatan ketika itu membuatkan kekaguman aku pada cara beliau menjadi pemimpin rakyat di situ. Setelah selesai membuat tinjauan di sana kami beredar menuju destinasi seterusnya, Muzium Kapal Selam yang merupakan satu-satunya di Malaysia. Sebelum sampai di muzium tersebut, aku telah dibawa melawat oleh pemandu rombongan kami yang sungguh peramah dan kelakar, Abg Rosli, ke tempat-tempat menarik (memandangkan sepanjang perjalanan ke muzium tersebut terdapat tempat yang menarik untuk dilawati) seperti Medan Ikan Bakar di Crystal Bay (menurut Abg Rosli, dia mencadangkan untuk mencuba ikan bakar di gerai no. 2 di situ kerana menjanjikan sajian yang cukup menyelerakan berbanding gerai lain), Medan Ikan Bakar di Muara Sungai Duyung, Gerai Coconut Shake di Padang Temu (kami sempat singgah menghilangkan dahaga kami dengan mencuba kelainan serta keenakam Coconut Shake di situ), pantai yang membolehkan kami menyaksikan Padang Besar, serta Masjid Tenggara yang didakwa antara masjid paling lama telah di bina di Malaysia iaitu lebih dari 100 tahun lamanya. Puas juga melawat semua tempat tu sampai aku hampir terlupa yang aku sedang dlm tugasan. Hehe.

       Sebaik tiba di Muzium Kapal Selam tersebut (jalan ke muzium tersebut ketika itu agak kurang selesa disebabkan penambahbaikan sedang berlaku di sekitar kawasan tersebut. Menurut org di situ, mereka berhasrat membangunkan satu lagi pusat tarikan pelancong di situ-Jurassic Park-tp aku tidak pasti kesahihannya) kami disambut dengan mesra oleh petugas muzium serta terus membawa aku dan rombongan ke tempat yang aku ingin jalankan penerhatian audit. Sesampai sahaja di dalam kapal selam tersebut kami diberi peluang untuk merasai sendiri suasana sebenar masuk ke kapal selam tersebut. Laluan dalamnya agak sempit. Cukup untuk seorang dewasa yang sedang-sedang badan untuk lalu. Oleh kerana ini ianya hanya laluan 'one-way'. Yang menariknya di dalam kapal selam tersebut terdapat lebih empat puluh tempat tidur berupa katil, tilam dan bantal serta dilengkapi dapur, tandas, bilik mesyuarat dan lain-lain lagi untuk kegunaan anak kapal. Aku juga diberitahu oleh petugas di situ bahawa jika ada mana-mana kumpulan samada dari universiti, persatuan atau siapa sahaja boleh bermalam di situ dgn syarat memaklumkan tujuan tersebut kepada petugan muzium kapal selam. Tentunya pengalaman tidur di kapal selam menjanjikan satu pengalaman yang amat menyeronokkan bahkan lain dari yang lain. Best wooo.
Akhirnya selesai tugasan audit lapangan aku di muzium-muzium yang telah aku pilih. Lalu kami singgah di medan selera yang berdekatan dengan Muzium Kapal Selam untuk menghilangkan lapar, dahaga dan lelah kami setelah seharian berjalan. Seusai makan, kami bertolak balik ke pejabat muzium di Banda Hilir semula. Dalam perjalanan pulang, sempat pula Abg Rosli menunjukkan gerai Coconut Shake yang popular di Klebang yang letaknya bersebelahan/berdekatan dengan stesyen minyak Caltex (kalau tak silap la).

       Itulah pengalaman yang amat amat menyeronokkan sepanjang kerja lapangan audit ku di Melaka. Alhamdulillah selesai urusan di Melaka. Harapa tahun depan ada la rezeki aku untuk berurusan lagi dengan mereka yang amat peramah dan friendly.

Malam itu aku pun balik ke rumah dengan kuntuman senyuman kepuasan. :)

Balai Seni Lukis Melaka

Muzium Pengangkutan Melaka

Galeri Demang Abdul Ghani (Penghulu Md Natar)

Muzium Kapal Selam

Bilik Mesyuarat - Muzium Kapal Selam

Aku merasai sendiri suasana berada di dalam kapal selam-Muzium Kapal Selam

Bilik tidur-Kapal Selam

Klebang Original Coconut Shake-Pantai Klebang

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...